Fiqh al-Falak wa al-Kawn Sebagai Satu Korpus Ilmu

Oleh: Prof. Madya Dr. Ibnor Azli Ibrahim
Abstrak:
Falak Syari’e adalah padanan kepada istilah Astronomi Islam meskipun jika dilihat dari segi amalannya ia ternyata lebih sempit. Istilah falak atau falak syari’e memberikan ruang lingkup yang agak terhad di mana perbahasan ilmu ini dalam konteks Malaysia seakan terbatas kepada soal konsep, teori dan pemerhatian falak yang berkaitan dengan isu taqwim, penentuan waktu solat dan arah kiblat. Kertas ini bertujuan untuk mengemukakan istilah baru yang lebih sesuai untuk bidang ini sekaligus membentuk kerangka suatu korpus ilmu baru di Malaysia yang bidang kajiannya boleh dikongsi bersama secara akrab dan meluas oleh para saintis dan pakar syariah. Pelbagai maklumat syari’e diperolehi dari rujukan muktabar yang dijadikan landasan untuk membentuk kerangka konsep ini dan kemudiannya diadun untuk menggabungkan ilmu astronomi, astrologi dan kosmologi dalam satu kelompok yang dipayungi oleh langit wahyu. Kajian ini mendapati bahawa sudah sampai masanya istilah astrofiqh & kosmofiqh dikemukakan sebagai ganti kepada istilah falak atau falak syari’e sekaligus membuka ufuk kajian yang lebih luas sesuai dengan kedudukan Syariah Islam yang sentiasa melepasi batas sekelian ilmu dan ia bersifat universal. Ia didorong pula oleh perkembangan ilmu falak yang amat pesat dewasa ini dan keperluan untuk mengembalikan kedudukan gugusan ilmu Islam di bawah satu payung seperti sebelumnya.
Teruskan pembacaan: https://www.islam.gov.my/images/ePenerbitan/jurnal_falak_bil1_2015.pdf
